PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Ia sekali gus menandakan langkah penting ke arah meningkatkan hubungan Malaysia-Mesir kepada perkongsian strategik selepas lebih enam dekad menjalin hubungan diplomatik.

Pertemuan bersempena dengan lawatan negara dua hari El-Sisi itu, memberi peluang kedua-dua pemimpin menilai semula kerjasama dua hala, meneroka bidang kerjasama baharu, dan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau serta antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Presiden Mesir itu yang mengadakan lawatan negara buat julung kalinya ke Malaysia sejak menyandang jawatan pada Jun 2014, tiba di kompleks berkenaan pada jam 12.58 tengah hari untuk menghadiri beberapa acara rasmi ke arah memperkukuh hubungan politik, ekonomi dan diplomatik antara kedua-dua negara.