KOTA KINABALU: Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Myanmar Min Aung Hlaing hari ini bukan bertujuan memberikan pengiktirafan kepada kerajaan negara berkenaan, sebaliknya bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu pelarian Myanmar yang telah lama berlarutan di Malaysia.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pendekatan berkenaan membuktikan kerajaan memanfaatkan saluran diplomatik bagi menangani isu domestik, termasuk berkaitan pelarian Myanmar.

“Pertemuan ini bukan satu pengiktirafan terhadap kerajaan Myanmar, bukan. Tetapi kita mengadakan pertemuan ini untuk mencari jalan penyelesaian isu pelarian Myanmar yang telah lama berlarutan dalam negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Inanam Sentral di sini, hari ini.