Kuching: Lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, 8 September lalu, turut menerima penganugerahan secara anumerta sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.

Mereka ialah mendiang Alexon Adit Henry, mendiang Debra Moset, Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamarudin, mendiang Jessie Paya Jok dan Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham.

Kelima-lima mereka dianugerahkan Pegawai Bintang Sarawak (PBS) secara anumerta sebagai penghormatan terhadap khidmat dan pengorbanan mereka.

Seramai 1,350 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena sambutan itu dengan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi mendahului senarai apabila dianugerahkan Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran Dato' Sri.