PETALING JAYA: Kenaikan insentif Perkhidmatan Doktor Udara dalam Belanjawan 2027 masih tidak mencukupi dan belum mencerminkan keadaan tugas mencabar serta risiko keselamatan besar yang dihadapi petugas kesihatan di kawasan terpencil.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Sivanaesan Letchumanan berkata, pihaknya menyambut baik kenaikan itu, namun jumlah yang disemak semula belum mencerminkan realiti semasa perkhidmatan berkenaan.

“Petugas ini wajar menerima imbuhan setimpal dengan cabaran dan risiko yang mereka tanggung.

“Kami menggesa kerajaan menyemak semula insentif tersebut serta mengutamakan pelaburan dalam keselamatan operasi, penyelenggaraan pesawat dan perlindungan petugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.