KUCHING: Lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, dekat Ulu Baram pada 8 September lalu disenarai antara 1,350 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.
Mereka ialah mendiang Alexon Adit Henry, mendiang Debra Moset, Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, mendiang Jessie Paya Jok dan Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham.
Mereka dianugerahkan Pegawai Bintang Sarawak (PBS) secara anumerta sebagai penghormatan atas khidmat dan pengorbanan masing-masing.
PBS adalah darjah kebesaran negeri pangkat kelima dalam susunan darjah kebesaran negeri Sarawak di bawah Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, yang dikurniakan sebagai pengiktirafan atas jasa dan perkhidmatan cemerlang kepada negeri.









