KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, 32, selepas pasangan itu selamat diijabkabulkan dalam majlis akad nikah di Menara Merdeka Maybank, di sini, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan kira-kira jam 10.40 pagi oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Syed Saddiq menyempurnakan akad nikah dengan sekali lafaz, sekali gus melengkapkan ikatan cinta pasangan berkenaan yang mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berjumlah RM500 kepada Bella.