Gua Musang: Hari Sukan Negara (HSN) di daerah ini disambut dengan cara berbeza apabila lebih 1,000 peserta turut mengutip sampah sepanjang laluan 'fun walk' sejauh tiga kilometer, di sini, hari ini.

Lebih 500 kilogram sampah berjaya dikutip dan dikumpulkan sepanjang lebih sejam perjalanan melalui kawasan pejalan kaki di Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), Taman Rimba dan kawasan sekitar Bukit Chupak.

Ketua Jajahan Gua Musang, Datuk Mohd Roshdi Ismail berkata, acara tahunan itu menjadi serampang dua mata kerana selain berjalan untuk sihat, peserta turut mengutip sampah di laluan ditetapkan.

"Alhamdulillah, sambutan menggalakkan daripada penduduk dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 1 yang turut berjalan dalam program itu.