MELAKA: Ts. Maryani Hasan, yang pernah berdepan cabaran kesihatan akibat kanser tahap empat, terpilih sebagai finalis Anugerah Wanita Ikon Muda Malaysia 2026/2027 selepas dinobatkan sebagai Wanita Ikon Muda Melaka bagi edisi sama.

Pencalonan di peringkat kebangsaan itu mengiktiraf penglibatan Maryani dalam usaha memperkasa golongan wanita, khususnya menerusi perkongsian ilmu dan kemahiran bagi membantu mereka mengembangkan potensi diri.

Sebagai seorang profesional dan usahawan, Maryani berkata, dia sentiasa berusaha menggalakkan lebih ramai wanita tampil sebagai pemimpin, pembuat keputusan serta memainkan peranan dalam ekonomi keluarga.

Katanya, pengalaman berdepan pelbagai cabaran kehidupan, termasuk kanser tahap empat, membentuk ketabahan dirinya untuk terus menyumbang kepada masyarakat.