KOTA KINABALU: Kesesakan hospital dan klinik kesihatan di Sabah perlu ditangani oleh kerajaan menerusi tindakan konkrit serta menyeluruh dengan segera.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata setiap syor dalam penyata lawatan kerja jawatankuasa pilihan kesihatan ke Sabah perlu diterjemahkan kepada tindakan, peruntukan, garis masa dan ukuran pencapaian yang jelas.

"Isu kesesakan bukan hanya membabitkan jumlah pesakit menunggu, tetapi merangkumi kekurangan petugas, ruang rawatan terhad, kelewatan rujukan serta kelemahan dalam pengurusan rekod pesakit.

"Apabila klinik kesihatan tidak mempunyai ruang dan petugas mencukupi, tekanan dipindahkan ke hospital. Di Tuaran, tekanan ini akhirnya sampai ke hospital rujukan di Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan selepas membahaskan penyata berkenaan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.