JAKARTA: Kualiti udara berbahaya terus menjejaskan sebahagian wilayah Kalimantan dan Sumatera Indonesia susulan kebakaran hutan dan tanah, dengan 437 titik panas dikesan di seluruh negara, semalam.
Kementerian Perhutanan Indonesia (Kemenhut), memetik data pemantauan oleh Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), berkata sebahagian Kalimantan Tengah, Sumatera Selatan dan Jambi terus merekodkan kualiti udara daripada sangat tidak sihat hingga berbahaya.
"Pasukan bersama terus menangani kebakaran hutan dan tanah menerusi pemadaman kebakaran darat, pengeboman air, rondaan udara serta usaha pencegahan dan kawalan di kawasan keutamaan," kata kementerian itu menerusi media sosial.
Mengikut klasifikasi kualiti udara BMKG, keadaan yang sangat tidak sihat sepadan dengan kepekatan PM2.5 iaitu 150.5 hingga 250.4 mikrogram setiap meter padu, manakala tahap berbahaya melebihi 250.4 mikrogram setiap meter padu, dengan PM2.5 merujuk pada zarah bawaan udara halus berukuran 2.5 mikrometer atau lebih kecil.









