JAKARTA: Kualiti udara di Jakarta pada pagi Jumaat berada dalam kategori tidak sihat, sekali gus menduduki tempat keempat dalam senarai bandar raya dengan kualiti udara terburuk di dunia.
Menurut laman pemantauan kualiti udara IQAir pada jam 5.55 pagi waktu tempatan, Indeks Kualiti Udara (AQI) Jakarta mencatatkan bacaan 169.
Ia menunjukkan kualiti udaranya berada dalam kategori tidak sihat, didorong pencemaran PM2.5 dengan kepekatan 87 mikrogram bagi setiap meter padu, lapor ANTARA.
Bacaan itu menunjukkan tahap kualiti udara yang tidak sihat bagi golongan sensitif kerana ia boleh menjejaskan kesihatan manusia dan populasi haiwan sensitif, selain menyebabkan kerosakan kepada tumbuh-tumbuhan serta nilai estetika.








