GENEVA: Fenomena iklim Super El Nino terus meningkat secara agresif dengan saintis memberi amaran bahawa corak cuaca ekstrem itu berpotensi menjejaskan iklim global sehingga tahun depan.
Kumpulan pakar mengesahkan bahawa fenomena berkenaan kini berada pada tahap luar biasa apabila sebahagian besar kawasan di serata dunia diramal mengalami peningkatan suhu secara tidak menentu berikutan Lautan Pasifik melepaskan haba.
Laporan terkini Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) meramalkan fenomena El Nino akan terus mengganas sebelum mencapai kemuncak skala kekuatannya menjelang Disember ini.
Menurut saintis, corak iklim yang amat berkuasa ini dijangka memberi kesan langsung kepada kecondongan suhu dan taburan hujan di pelbagai wilayah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.








