KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menggerakkan semula jaringan alumni universiti awam bagi membantu membimbing mahasiswa menerusi program mentor, selain memperkukuh hubungan antara universiti dengan industri.
Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu penting mengambil kira lebih 3.5 juta alumni telah dilahirkan oleh 20 universiti awam (UA) di seluruh negara.
Malah, katanya, jumlah berkenaan dijangka jauh lebih besar jika digabungkan dengan institusi pendidikan tinggi swasta.
Menurutnya, alumni bukan sahaja boleh berperanan sebagai mentor kepada mahasiswa dalam usaha mengembangkan bakat dan potensi mereka, malah turut membantu menyumbang kepada perkembangan universiti masing-masing.









