Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti akan menjalankan siasatan susulan video tular menunjukkan seorang individu dipercayai perawat yang merawat pesakit rawatan tradisional yang didakwa mencampurkan bacaan tahlil dengan mantera Siam hingga mengundang pertanyaan dalam kalangan warganet mengenai hukumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti sudah dimaklumkan perkara ini.

"JAKIM dan Jabatan Mufti akan menjalankan siasatan dan tindakan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Harian Metro melaporkan rawatan tradisional adalah haram dan wajib ditinggalkan sekiranya terbukti amalan itu mengandungi unsur pemujaan, penyembahan atau pergantungan kepada kuasa selain Allah SWT.