KUALA LUMPUR: Situasi jerebu negara dilihat tidak memberikan perkembangan positif apabila kebanyakan lokaliti mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) hampir sama berbanding pagi tadi.
Setakat jam 12 tengah hari ini, portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) terus memaklumkan tiada lokaliti di seluruh negara merekodkan IPU di tahap sihat.
Selain itu, 33 lokaliti kekal sebagai kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat, manakala 35 lagi dikategorikan sederhana, selain tiada kawasan mencatatkan bacaan sangat tidak sihat serta berbahaya.
Di Johor bacaan IPU kekal direkodkan pada tahap tinggi masing-masing Batu Pahat (188), Tangkak (186), Larkin dan Pasir Gudang (184), Segamat (181), Kluang (176), Kota Tinggi (172) serta Pengerang (169).









