KUALA LUMPUR: Jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara negara sejak 8 Ogos lalu dijangka beransur-ansur berkurangan dalam tempoh dua minggu susulan perubahan corak pergerakan angin.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata Malaysia kini berada dalam fasa peralihan monsun sejak 9 Oktober, sebelum monsun timur laut dijangka bermula pada penghujung Oktober.
"Bagaimanapun, saya ingin menegaskan perubahan keadaan cuaca semata-mata bukanlah penyelesaian jangka panjang terhadap isu jerebu. Mungkin akan berulang lagi.
"Jadi, usaha pencegahan kebakaran ini mesti berlaku di punca. Penguatkuasaan undang-undang mesti domestik serta kerjasama serantau mesti diperkukuh untuk kita akhirnya dapat mengurangkan risiko kejadian yang sama berulang pada masa hadapan," katanya ketika menjawab isu jerebu rentas sempadan dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.









