Hazwanfaisal@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Digital Nasional Bhd (DNB) dijangka kurang memerlukan suntikan ekuiti tambahan daripada pemegang saham syarikat rangkaian mudah alih (MNO) susulan penyempurnaan kemudahan pembiayaan bernilai RM5.2 bilion.
Menurut CelcomDigi Bhd, berdasarkan komitmen kawal selia dan keperluan pembiayaan semasa DNB, penyempurnaan pembiayaan itu akan menyokong struktur modal serta keupayaan kewangan syarikat berkenaan dalam memenuhi keutamaan rangkaiannya.
Katanya, perkembangan itu juga membolehkan tumpuan lebih besar diberikan kepada usaha meningkatkan kecekapan dan prestasi rangkaian 5G.
"Perkembangan ini hadir seiring pemberian peruntukan spektrum 5G jangka panjang kepada DNB selama 15 tahun serta kemajuan dalam proses pemindahan pegangan saham Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) kepada pemegang saham MNO," katanya dalam kenyataan.






