Kuala Lumpur: Polis kenal pasti seorang bekas juruterbang warga Filipina yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah serta seorang wanita warga negara itu yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa, susulan rampasan lebih setengah tan methamphetamine dari sebuah jet persendirian di Laos.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati bekas juruterbang berusia 54 tahun itu menyewa pesawat berkenaan menerusi seorang broker dari Malaysia, manakala wanita berusia 51 tahun pula dipercayai bertindak sebagai penyelaras sindiket.

Menurutnya, perkembangan terbaharu itu diperoleh hasil siasatan terhadap rampasan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos yang turut menyaksikan penahanan seorang pembantu juruterbang warga Malaysia.