KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti bekas juruterbang warga Filipina yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan wanita rakan senegaranya dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa, susulan rampasan lebih setengah tan methamphetamine dari jet persendirian di Laos.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata hasil siasatan mendapati bekas juruterbang berusia 54 tahun itu menyewa pesawat berkenaan menerusi broker dari Malaysia, manakala wanita berusia 51 tahun terbabit dipercayai bertindak sebagai penyelaras sindiket.
Beliau berkata, perkembangan terbaru itu diperoleh hasil siasatan terhadap rampasan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos, yang turut menyaksikan penahanan seorang pembantu juruterbang warga Malaysia.









