KUALA LUMPUR: Rampasan 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine daripada sebuah jet peribadi di Laos, disahkan bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya dipercayai mahu diseludup ke Filipina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata jet peribadi yang disewa khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Luang Prabang, Laos tanpa membawa sebarang muatan sebelum bekalan dadah berkenaan dimuatkan ke dalam pesawat di sana.
"Dadah yang dirampas itu untuk pasaran Manila, Filipina dan bukannya Malaysia.
"Pesawat terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Luang Prabang tanpa sebarang kargo. Dadah berkenaan hanya dimuatkan ke dalam pesawat setibanya di Laos dan dipercayai untuk dihantar ke Manila," katanya dalam satu kenyataan hari ini.










