Sandakan: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menjalankan rondaan pemantauan di kawasan pesisir susulan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 yang berlaku di perairan daerah ini pada 9.11 malam ini.
Ketua BBP Sandakan Jimmy Lagung berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan atau laporan kerosakan susulan kejadian itu.
"Rondaan dilaksanakan sebagai langkah awal dengan pemantauan dilakukan di sekitar kawasan pesisir yang didiami komuniti Sandakan.
"Penduduk dinasihatkan supaya tidak panik kerana setakat ini keadaan terkawal. Sekiranya berlaku sebarang keadaan mencurigakan, segera hubungi pihak berkuasa untuk bantuan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam ini.










