DATUK Azizulhasni Awang menutup kekecewaan dalam acara pecut individu lelaki dengan penuh bergaya apabila meraih pingat emas keirin pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, hari ini.Kemenangan di Velodrom Izu, Shizuoka itu menyaksikan Azizulhasni sekali lagi membuktikan pengalamannya apabila menewaskan pelumba China, Li Zhiwei yang terpaksa berpuas hati dengan perak.Pelumba China, Xie Han, meraih gangsa manakala wakil negara, Shah Firdaus Sahrom, menamatkan saingan di tempat kelima.Emas itu menyamai pencapaian Azizulhasni ketika memenangi keirin pada Sukan Asia Guangzhou 2010, selain emas pecut individu lelaki di Indonesia 2018.Ia juga menjadi emas ketiga dalam penampilan kariernya di temasya Sukan Asia.Pelumba berusia 38 tahun itu terlebih dahulu mengesahkan tiket ke final selepas memenangi saingan separuh akhir, mendahului pelumba Jepun, Minato Nakaishi, dan wakil Hong Kong, Yung Tsun Ho.Shah Firdaus turut melangkah ke final selepas menduduki tempat ketiga dalam satu lagi separuh akhir yang menyaksikan dua pelumba China, Xie Han dan Li Zhiwei, masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua.Prestasi Azizulhasni musim ini terus menyerlah apabila dia turut memenangi emas keirin pada Sukan Komanwel Glasgow pada Ogos lalu, selain meraih dua emas acara sama dalam siri Piala Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tahun ini. -end