KOTA TINGGI: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau masih menunggu titah untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berhubung isu jawatan Menteri Besar negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau percaya warkah berhubung perkara berkenaan sudah diutus bagi mempersembahkan nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.

"Warkah telah diutus, jadi setakat ini saya belum dititah untuk menghadap dan kami mempunyai kepercayaan kepada kepimpinan negeri untuk sembah maklum warkah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) Ke-62 di sini, hari ini.