BATU PAHAT: "Memang saya nampak kemalangan dan kereta terbakar. Tapi, saya tak sangka pula ia membabitkan adik saya," kata Kamal Syafiq Maskat, 35, abang kepada seorang daripada dua lelaki yang ditemukan rentung dalam nahas di Jalan Jaya Diri, Rengit, dekat sini, malam tadi.

Nahas kira-kira jam 8.20 malam itu meragut nyawa adik Kamal Syafiq, Kamal Nur Hafizi, 22, serta rakan sekerjanya, Muhammed Erfan, 17, yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Difahamkan, kedua-dua mangsa bekerja di sebuah zoo mini di Rengit.

Menceritakan kejadian itu, Kamal Syafiq berkata, dia keluar dari rumah kira-kira jam 8.15 malam untuk membeli barangan di pekan Rengit sebelum terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akibat kemalangan berkenaan.