Tumpat: "Beberapa hari lalu saya tiba-tiba terfikir bagaimana keadaan saya jika abang tiada (meninggal dunia) suatu hari nanti. Tak sangka persoalan itu akhirnya menjadi realiti," kata adik bongsu Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff Yaacob yang terkorban dalam kemalangan di Sungkai, Perak, semalam.
Nur Syaza Awatif Yaacob, 16, berkata, dia hilang tempat bergantung berikutan ibu mereka meninggal dunia Mac lalu akibat menderita pelbagai penyakit kronik.
"Abang sulung (Muhammad Shahrul Alif) sangat baik dan bertanggungjawab. Ini membuatkan saya sering berasa takut kehilangannya.
"Akhirnya, ketakutan itu menjadi kenyataan. Kini hanya tinggal saya dan abang kedua selepas satu persatu insan tersayang pergi. Ayah masih ada, namun sudah tidak tinggal bersama selepas berpisah dengan arwah ibu hampir dua tahun lalu," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tujoh, di sini, awal pagi tadi.








