GEORGE TOWN – Parti politik tidak boleh terlalu selesa dengan sokongan yang dimiliki kerana perubahan sentimen pengundi boleh berlaku dalam tempoh singkat, manakala angka keputusan pilihan raya menjadi ukuran sebenar kekuatan sesebuah parti.Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, politik merupakan permainan angka yang memerlukan setiap parti bukan sahaja melihat keputusan pilihan raya, malah menganalisis dan mentafsir data bagi memahami penerimaan rakyat terhadap mereka.Menurutnya, angka tidak boleh dimanipulasi mengikut emosi atau kepentingan politik kerana keputusan sebenar perlu diterima secara terbuka termasuk apabila ia menunjukkan prestasi yang mengecewakan."Politik ini permainan angka. Sebab itu kita kena tengok angka, analisis angka dan tafsir angka."Angka tidak menipu, tidak pandai membodek dan tidak mengikut emosi. Kalau undi dapat 2.61 peratus, itulah angkanya dan bukannya 26 peratus."Kalau 47 calon bertanding tetapi tiada satu pun menang, maka sifar kerusi dan bukannya hampir menang," katanya ketika dihubungi pada Rabu.Beliau berkata, terdapat kecenderungan dalam kalangan parti yang tewas dalam pilihan raya untuk menggambarkan prestasi mereka secara positif dengan menggunakan pelbagai naratif seperti peningkatan undi, sokongan semakin bertambah, kemenangan moral dan momentum politik.Bagaimanapun, katanya, angka sebenar perlu diteliti bagi menentukan sama ada peningkatan tersebut benar-benar mencerminkan perubahan sokongan pengundi atau sekadar peningkatan kecil daripada asas yang rendah."Ramai yang kalah dalam pilihan raya lepas cuba memutar angka. Ada yang mengatakan undi meningkat 100 peratus, sokongan bertambah, memperoleh kemenangan moral dan masih mempunyai momentum."Tetapi apabila kita buka kiraan sebenar, peningkatan 100 peratus itu mungkin hanya daripada 1.5 peratus kepada tiga peratus. Parti masih kehilangan deposit," ujarnya.Menurut beliau lagi, selepas meneliti angka, analisis lebih mendalam boleh dilakukan bagi memahami sebab keputusan tersebut berlaku termasuk mengenal pasti pihak yang ditolak dan diterima pengundi serta implikasinya terhadap pilihan raya umum (PRU) akan datang.Katanya, parti politik tidak seharusnya menolak hakikat sesuatu keputusan hanya kerana angka yang diperoleh tidak menyebelahi mereka."Jangan marah kalau angka itu pahit. Angka pahit itu ubat. Kalau kita tolak ubat, penyakit tidak akan sembuh," tambahnya lagi.Mengulas prestasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, Azizi berkata, pencapaian parti itu berdasarkan keputusan yang dikemukakan menunjukkan prestasi yang lebih mengecewakan apabila dibandingkan dengan parti politik baharu.Katanya, Bersatu bukan parti baharu kerana pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan selain pernah mempunyai Perdana Menteri dan Menteri Besar.Bagaimanapun, berdasarkan rekod tiga PRN berkenaan, parti itu gagal memenangi sebarang kerusi daripada keseluruhan 47 calon yang diketengahkan.