Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki kebangsaan meletakkan sasaran mara ke final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 28 November ini, meskipun bakal berdepan saingan beberapa pasukan berpengalaman.
Pemain tengah Speedy Tigers, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi percaya Malaysia memiliki kemampuan untuk merealisasikan sasaran itu pada edisi ke-32 kejohanan berkenaan.
Dia mengakui cabaran bukan mudah dengan kehadiran Australia, Pakistan, Korea Selatan, Kanada dan Amerika Syarikat (AS), namun yakin skuad negara mampu bersaing.
"Hasrat kami adalah untuk melangkah ke perlawanan akhir. Antara pasukan yang mungkin memberikan cabaran kepada Malaysia ialah Australia dan Pakistan, jadi kami tidak boleh mengambil mudah apabila bertemu mereka nanti," katanya.








