Seoul: Kerajaan Korea Selatan melancarkan semakan menyeluruh terhadap 528 kategori peperiksaan kelayakan kebangsaan tahun ini bagi mengesan perbuatan meniru menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Memetik Seoul Economic Daily, langkah itu susulan pengakuan calon yang memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan Akauntan Cukai Bertauliah kali ke-63 bahawa dia meniru menggunakan AI.

Menurut Kementerian Pekerjaan dan Buruh dan Perkhidmatan Pembangunan Sumber Manusia Korea pada 17 November, semakan itu meliputi 491 kelayakan teknikal kebangsaan dan 37 kelayakan profesional kebangsaan.

Difahamkan, pegawai akan menganalisis pelbagai petunjuk termasuk markah tinggi, jurang markah antara mata pelajaran, perubahan kadar kelulusan serta perbezaan markah mata pelajaran bagi seseorang calon bagi mengenal pasti kes mencurigakan.