SEOUL: Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengumumkan rancangan untuk mengerahkan pesawat rondaan maritim serta pasukan pelupusan bom ke perairan berhampiran Selat Hormuz, bagi memastikan laluan perdagangan itu kekal dibuka.

Langkah berkenaan dibuat susulan gangguan terhadap laluan perkapalan global yang menjejaskan bekalan tenaga dunia akibat perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang tercetus sejak 28 Februari lalu.

Kementerian itu mengesahkan peluasan kawasan operasi unit tentera laut melawan lanun, Cheonghae yang sebelum ini bertugas di Teluk Aden, merangkumi penempatan sebuah kapal pemusnah, pesawat rondaan maritim P-8, pasukan pemusnah bom, kenderaan permukaan tanpa pemandu serta kenderaan bawah air kawalan jauh.