WASHINGTON: Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lubnan mengesan tanda-tanda persiapan bagi mengekalkan kehadiran tentera Israel secara berpanjangan di kawasan itu, ketika serangan udara, bedilan artileri dan sekatan pergerakan terhadap anggota pengaman masih berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik jurucakap PBB pada Isnin.

Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) melaporkan kegiatan ketenteraan Israel di seluruh kawasan operasinya dari Khamis hingga Ahad termasuk operasi dron, kerja kejuruteraan dan pembinaan jalan raya.

Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq, memberitahu pemberita di New York pasukan pengaman merekodkan tiga serangan udara Israel pada Khamis dan tiga lagi pada Ahad, selain 360 lintasan tembakan artileri sepanjang tempoh empat hari berkenaan.