Kuala Lumpur : Penyanyi, Zizi Kirana, 41, menarik perhatian warganet dengan hantaran 'umum' berbaur peringatan positif agar lebih memikirkan kesihatan badan berbanding rasa sakit di hati.

Ujar Zizi atau nama sebenar, Nur Fazelah Mad Tahil, apa yang lebih bagus supaya diberikan keutamaan oleh kita semua adalah mencari kaedah tepat untuk elakkan sakit pinggang, lutut dan urat.

"Kita dah terlalu tua nak fikir pasal sakit hati. Yang patut kita fikir sekarang ialah macam mana nak elakkan sakit lutut, sakit pinggang dan sakit urat," tulisnya ringkas pada hantaran dimuatnaik di Threads itu.

Tidak hanya itu, Zizi pada hantaran lain di Threads, turut berkongsi kerinduan menyanyikan lagu Menuju Puncak yang pernah menjadi rutin hariannya ketika menyertai Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada 2009 dulu.