Tawau: Seorang wanita yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia di tepi sungai berhampiran Taman Green, Jalan Sin Onn, di sini, kira-kira dua jam selepas dilaporkan hilang oleh bapanya, hari ini.

Mangsa dilaporkan hilang kira-kira 12 tengah hari sebelum pencarian awal dilakukan penduduk kampung yang kemudian menemukannya di kawasan tebing sungai berkenaan, jam 2 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, sebaik tiba di lokasi jam 2.03 petang, pihaknya mendapati mangsa berada dalam keadaan tersangkut di tepi sungai.

"Kami membawa mangsa naik ke darat dan dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi," katanya dalam kenyataan.