SEPANG: Pertumbuhan pasaran automotif ASEAN yang merekodkan lebih 2.4 juta jualan kereta penumpang baharu pada 2025 meningkatkan keperluan terhadap standard keselamatan kenderaan lebih ketat, khususnya dalam menangani risiko kemalangan membabitkan kereta dan motosikal.
Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon, berkata keperluan itu selari dengan pelaksanaan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) 2026-2030 yang memperkenalkan beberapa penilaian lebih ketat, termasuk teknologi Autonomous Emergency Braking (AEB) bagi mengesan dan bertindak terhadap motosikal.
Menurutnya, penilaian berkenaan amat relevan dengan keadaan trafik di rantau ASEAN kerana motosikal adalah sebahagian besar daripada campuran kenderaan di jalan raya, sekali gus memerlukan teknologi keselamatan kenderaan yang lebih responsif terhadap pengguna dua roda.









