Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berasa lega selepas dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, di sini.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Najib berasa amat lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi kerana sudah lama menunggu untuk mendapatkan bentuk pelepasan berkenaan.
"Ini adalah satu kelegaan besar buat beliau kerana sudah lama menunggu perkara ini," katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi, hari ini.










