KUALA LUMPUR: Dutch Lady Milk Industries Bhd (Dutch Lady Malaysia), sebahagian daripada FrieslandCampina, hari ini mengumumkan persetujuan untuk mengambil alih 35 peratus kepentingan ekuiti dalam Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd (JDV), perniagaan tenusu bersepadu yang berpangkalan di Johor, daripada Kulim (Malaysia) Bhd (Kulim).

Apabila pengambilalihan itu selesai, Dutch Lady Malaysia akan menyertai Kulim, anak syarikat milik penuh Johor Corporation (JCorp), dan A2 Fresh Holdings Sdn Bhd (A2F), anak syarikat Rhone Ma Holdings Bhd, sebagai pemegang saham JDV.

Langkah itu akan mewujudkan kerjasama strategik antara ketiga-tiga pemegang saham bagi menyokong pembangunan berterusan JDV.

Penyempurnaan cadangan pengambilalihan itu masih tertakluk kepada pemenuhan syarat berkaitan di bawah perjanjian jual beli saham, termasuk mendapatkan kelulusan pihak ketiga.