KUALA LUMPUR: Lapan bulan menumpang di rumah keluarga, isu kediaman pula belum berkesudahan.

Itu antara kemelut yang didakwa masih membelenggu usahawan, Syida Melvin selepas bercerai dengan bekas suami, Mohamad Syafiq Azim Shaheen.

Lebih mengecewakan, Syida mendakwa berdepan kesukaran untuk kembali ke rumah kelamin mereka bersama tiga anak, susulan bekas suami dikatakan enggan memberikan kerjasama bagi membolehkannya menduduki semula kediaman berkenaan.

Menerusi video siaran langsung yang tular di media sosial, Syida meluahkan rasa terkilan apabila mendakwa hasratnya untuk kembali ke rumah itu tidak mendapat kerjasama, sedangkan dia mahu memastikan kebajikan dan persekolahan anak-anak lebih terjamin.