Saya memandang serius kontroversi persembahan konsert The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu. Persoalan melibatkan sensitiviti agama, kandungan persembahan dan pematuhan syarat kelulusan tidak boleh dipandang ringan atas alasan hiburan atau populariti artis antarabangsa.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, menerusi Tinta Mufti Bil. 157/2026 bertarikh 9 November 2026, telah membangkitkan kebimbangan terhadap elemen persembahan berkenaan, termasuk arca robot wanita gergasi berwarna keemasan dan penari berjubah merah, serta menegaskan perlunya penelitian terhadap kandungan sebenar persembahan berdasarkan prinsip akidah Islam.

Pada 9 November juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan bahawa Bahagian Penyelidikan JAKIM sedang bekerjasama dengan PUSPAL untuk mengesahkan dakwaan dan meneliti pematuhan syarat persembahan. Tindakan tegas dijanjikan sekiranya pelanggaran dikenal pasti. Ini bermakna dakwaan unsur pemujaan masih dalam penelitian dan belum boleh diumumkan sebagai penemuan muktamad.