HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu, malam ini tertumpu di Jambatan Pertak dan Empangan Sungai Selangor.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran, berkata buat masa ini operasi SAR masih diteruskan, manakala keputusan untuk menghentikannya sementara bergantung kepada keadaan cuaca serta nasihat pihak bomba.
"Kita akan melihat keadaan cuaca kerana apabila semakin lewat malam, operasi mungkin berdepan kesukaran.
"Kita juga akan mendapatkan nasihat daripada pegawai bomba sebelum membuat keputusan," katanya.










