HULU SELANGOR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu, kini tertumpu di Jambatan Pertak dan Empangan Sungai Selangor.Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata, kedua-dua kawasan itu menjadi tumpuan pasukan SAR bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang."kita memberi tumpuan kepada kawasan empangan dan bawah jambatan. Dua kawasan itu menjadi tumpuan pencarian bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih belum ditemukan," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Selasa.Manimaran berkata, operasi SAR masih diteruskan dan keputusan untuk menghentikannya sementara bergantung kepada keadaan cuaca serta nasihat pasukan bomba."Operasi masih berjalan. Kita akan melihat keadaan cuaca kerana apabila semakin lewat malam, operasi mungkin berdepan kesukaran."Kita juga akan mendapatkan nasihat daripada pegawai bomba sebelum membuat keputusan lanjut," katanya.Menurutnya, lima daripada lapan mangsa yang dihanyutkan arus sudah ditemukan, manakala tiga lagi masih hilang."Lima mangsa yang ditemukan terdiri daripada seorang lelaki tempatan, seorang warga Nepal, dua warga India dan seorang warga Sri Lanka."Tiga lagi yang belum ditemukan ialah dua warga India dan seorang warga Yaman," katanya.Beliau berkata, semua lima mayat itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, manakala polis menghubungi kedutaan negara mangsa warga asing bagi memaklumkan kejadian itu.Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar memaklumkan, pencarian turut menggunakan dua lampu limpah jenis Bulldog yang disediakan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS)."Kita turut menggunakan dron bagi membantu mengesan mangsa di permukaan air. Empat bot turut disediakan dalam keadaan siap siaga sekiranya mangsa dikesan."Lampu limpah berkenaan akan dihidupkan selama 30 minit hingga sejam sebelum dipadamkan selama sejam, dengan kaedah itu diulang sepanjang operasi pencarian," katanya.Dalam kejadian petang Isnin, lapan individu dihanyutkan arus kepala air di kawasan Lata Jebus, manakala 26 lagi terselamat.