Kuala Kubu Bharu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa kepala air di Lata Jebus, Kampung Pertak, dekat sini, diteruskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pencarian tertumpu sepanjang aliran Sungai Luit dari Lata Jebus ke arah empangan berkenaan.

"Radius pencarian diperluaskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, meliputi kira-kira tiga kilometer sepanjang Sungai Luit dari lokasi kejadian.

"Setakat ini, lima daripada lapan mangsa yang dilaporkan dihanyutkan arus sudah ditemukan, manakala tiga lagi masih dicari," katanya ketika ditemui di lokasi.