JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang juga bekas pengurus sebuah premis pajak gadai di Kota Tinggi, dipercayai menjadi dalang kejadian pecah masuk premis berkenaan sehingga menyebabkan kerugian barang kemas dan wang tunai berjumlah RM28.4 juta, Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pada kejadian 11.42 pagi itu, suspek dipercayai memecah masuk premis berkenaan melalui pintu hadapan sebelum keluar melalui pintu belakang dengan melarikan barangan dan wang tunai itu.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan tujuh individu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita warga tempatan, berusia antara 29 hingga 48 tahun.
"Mereka ditahan secara berasingan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru antara 7 hingga 8 November lalu bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.








