KUALA LUMPUR: Remaja berusia 16 tahun antara tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan merusuh dengan menggunakan senjata ketika perebutan kawasan perniagaan di Desa Tun Razak, Cheras, minggu lalu.

Bagaimanapun, semua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed.

Mereka ialah Iftikhar Muhammad Rehmani Mohd Rafie, 30; Danny Chan Tim Meng, 20; Yee Jun Jiet, 20; Khaw Kah Ho, 19; Mohd Quayyum Azman, 43; Syaiful Kamal Abdulahak, 44, dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang individu yang masih bebas didakwa menyertai dan berada dalam satu rusuhan serta memiliki benda memudaratkan yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.