KUALA LUMPUR: Berteduh di bawah pokok ketika cuaca buruk dikenal pasti antara punca utama tragedi menyayat hati tiga bersaudara maut dipanah petir di Bandar Salak Tinggi, Sepang, petang semalam.

​ Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga pakar petir, Prof Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir, berkata tanggapan umum bahawa petir hanya berbahaya menerusi sambaran terus adalah kurang tepat.

​Menurut beliau, data antarabangsa menunjukkan sambaran terus hanya menyumbang kira-kira tiga hingga lima peratus kecederaan akibat panahan petir, manakala sebahagian besar kes berlaku menerusi laluan nyahcas elektrik yang lain.

​Mengulas kejadian itu, Mohd Zainal menjelaskan fenomena arus bumi (ground current) dan sambaran sisi (side flashes) dipercayai menjadi punca utama ketiga-tiga mangsa terkorban secara serentak.