KOTA KINABALU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos, dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih 32 tahun.
Majlis pemakaian pangkat Komisioner Polis dan serah terima tugas berlangsung di Auditorium Sayat-Sayat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini petang ini.
Majlis disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid, yang turut menyempurnakan pemakaian pangkat Komisioner Polis kepada Victor.
Pada majlis itu, Jauteh menyerahkan tugas kepada Victor menerusi upacara menandatangani dokumen serah terima tugas, penyerahan dokumen secara simbolik dan tongkat kuasa.










