KUALA LUMPUR: Malaysia sudah menjamin sekurang-kurangnya satu slot ke suku akhir acara beregu lelaki Masters Kumamoto di Jepun selepas dua gandingan negara, Aaron Tai-Yap Roy King dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan bertembung pada pusingan kedua, Khamis ini.
Aaron-Roy King yang menghuni ranking ke-55 dunia hanya memerlukan 25 minit untuk menyingkirkan gandingan tuan rumah, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi yang berada di ranking ke-17 dunia, 21-8, 21-14 pada aksi pusingan pertama di Gimnasium Wilayah Kumamoto, hari ini.
Juara Terbuka Artik itu terus menyerlahkan potensi apabila mendominasi permainan selepas menemui rentak, sekali gus menamatkan cabaran lawan dalam dua set untuk menempah pertemuan dengan Sze Fei-Izzuddin.









