Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Yap Roy King-Aaron Tai perlu bekerja keras meningkatkan kedudukan dunia dalam misi memburu tempat ke undian utama Terbuka Malaysia, Januari depan.
Gandingan itu kini menghuni ranking ke-55 dunia, sekali gus menyedari keperluan mengutip lebih banyak mata dalam baki kejohanan musim ini bagi memperbaiki kedudukan mereka.
Juara Terbuka Artik itu berkata, peningkatan ranking menjadi sasaran utama menjelang penghujung tahun ini, selain mahu memastikan mereka berpeluang beraksi pada kejohanan berstatus Super 1000 itu.
"Menjelang penghujung tahun ini, memang kami mahu meningkatkan ranking dahulu dan bermain di Terbuka Malaysia tahun depan. Itu sahaja sasaran buat masa ini untuk melayakkan diri," katanya ketika ditemui selepas latihan di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.










