Kuala Lumpur: "Susu dibeli untuk anak kami Harraz, itulah yang akhirnya menjadi sebahagian daripada kisah pengorbanan seorang ayah dan pemergiannya."

Demikian luahan Nur Mas Idayu Buyung, 29, isteri kepada Muhammad Amir Mohd A'lowi yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Kepong ke Batu Caves selepas berpatah balik ke tempat kerja untuk mengambil susu anak mereka yang tertinggal.

Semalam genap setahun pemergian Muhammad Amir selepas kemalangan yang meragut nyawanya.

Menurut Nur Mas Idayu, selepas setahun pemergian suaminya, dia masih sukar menahan sebak setiap kali mengenangkan pengorbanan terakhir lelaki itu demi memastikan keperluan anak mereka, Harraz mencukupi.