KUALA LUMPUR: Kegiatan kumpulan gangsterism dan kongsi gelap 08 yang dipercayai menguasai rangkaian pengedaran dadah di sekitar Flat San Peng di sini, terbongkar apabila tiga sindiket utama berjaya ditumpaskan menerusi Ops Khas San Peng pada Rabu hingga Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 143 individu ditahan hasil 91 serbuan yang dilaksanakan sepanjang operasi tiga hari tersebut.

“Operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan berterusan yang mengenal pasti Flat San Peng sebagai antara lokasi tumpuan aktiviti penagihan serta pengedaran dada.

“Kegiatan itu khususnya membabitkan pengedar dadah berskala kecil yang aktif menjalankan kegiatan haram sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk setempat,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.