MELAKA: Polis Kontinjen Melaka merekodkan 172 tangkapan menerusi 24 serbuan bagi membanteras kegiatan sindiket jenayah komersial yang semakin kompleks, khususnya operasi pusat panggilan, sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, daripada jumlah itu, 20 kertas siasatan dibuka dan sudah dituduh di mahkamah, hasil tindakan penguatkuasaan berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri.

Katanya, dalam perkembangan berkaitan, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 merekodkan 591 kertas siasatan (KS) dibuka sepanjang tempoh sama dengan 289 kes berjaya diselesaikan, bersamaan kadar penyelesaian 48.90 peratus.

"Daripada jumlah kes diselesaikan, 60 kes sudah dituduh, 10 diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), manakala 219 lagi direkodkan dalam kategori kemas kini sementara (KUS).