KUALA LUMPUR: Penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 akhirnya mendapat lampu hijau apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberikan kelulusan bersyarat selepas pihak penganjur bersetuju mematuhi sepenuhnya Kod Sukan Selamat.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata kelulusan itu diberikan di bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], tertakluk kepada pematuhan penuh Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat serta semua syarat lain yang ditetapkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Beliau berkata, KBS akan memantau pematuhan terhadap semua syarat berkenaan sepanjang penganjuran acara kecergasan itu berlangsung.

"Sehubungan itu, kelulusan bersyarat diberikan bagi penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026, tertakluk kepada pematuhan penuh Kod Sukan Selamat serta semua syarat lain yang ditetapkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan," katanya dalam kenyataan media hari ini.